home Columns, Uncategorized Kedekut a.k.a Bakhil

Kedekut a.k.a Bakhil

bakhil 6Kalau menyebut Bakhil, ramai yang teringat akan Hj Bakhil dalam filem Labu Labi. Kalau menyebut kedekut,lantas ada yang mengatakan kedekut tahi hidung masin. Dalam Al-Quran, kita boleh melihat beberapa ayat mengenai kedekut dan bakhil. Antaranya :

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”. – [Al-Furqan : 67]

“Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurniaNya dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina”. – [An Nisa : 37]

Melihat kepada ayat al-Quran di atas, Allah swt telah memberikan pesanan agar manusia tidak menjadi kedekut dalam kehidupan mereka. Orang yang kedekut dan bakhil ini boleh dianggap berdosa kepada Allah selain mendapat kesusahan dalam kehidupan di dunia mahupun akhirat.

kedekut 1

– Kedekut Ilmu –

Dunia hari ini bukan sahaja ada individu yang kedekut dalam memberikan pinjaman harta benda mahupun sedekah, namun ada juga segelintir individu yang kedekut ilmu. Ilmu Allah ini luas. Sampai bila-bila pun kita tidak akan puas dalam mencari ilmu. Kalau kita rasakan kita ini mempunyai ilmu yang tinggi, ada yang mempunyai lebih tinggi lagi dari kita.

Menurut pengamatan saya sendiri,pernah terjadi ada individu yang meminta resepi masakan dari seseorang rakan yang dikenali. Namun,saya dapat melihat ketidakikhlasan rakannya dalam memberikan resepi berkenaan. Sebagai contoh,dia tidak memberikan resepi yang lengkap dari sudut sukatan bagi bahan-bahan yang digunakan. Ada juga individu yang meminta rakan-rakan mereka mengajar dalam mana-mana subjek yang sukar untuk difahami. Namun apabila rakannya meminta bantuannya semula,individu berkenaan tidak mahu memberikan pertolongan.

Adakah ini yang dikatakan kerjasama? Tidak ! Individu seperti ini dikategorikan sebagai indiviidu yang mementingkan diri sendiri. Dan mereka juga hanya mahukan diri mereka sahaja yang berjaya. Ada juga individu yang berbangga dengan ilmu yang dimiliki. Misalnya, dia bijak dalam menyampaikan perbahasan. Maka, dia mula merasakan dirinya hebat dan mula sombong. Kita tidak akan rugi sedikit pun jika kita berkongsi ilmu dengan orang lain. Malah,apabila semakin banyak kita pelajari sesuatu perkara, maka kita akan merasakan ilmu yang kita ada selama ini sebenarnya masih terlalu sedikit.

Kita seharusnya gembira kerana masih ada insan yang memerlukan bantuan kita walaupun bantuan yang diminta itu tidak seberapa. Namun, ganjarannya sangat besar di sisi Allah swt seandainya kita membantu insan tersebut.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, jangan sesekali kita kedekut ilmu, kerana ilmu itu bukan hak milik kita. Ia adalah hak milik Allah swt dan jika dikehendakniNya, ilmu yang kita perolehi selama ini mungkin akan ditarik semula dari kita. Bagaimana ilmu itu ditarik? Mungkin dengan hilangnya daya ingatan kita. Maka bersyukurlah !

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *