home Volunteerism Tabung Amal Jariah Ke Mauritius

Tabung Amal Jariah Ke Mauritius

Tidak mahu ketinggalan melakukan amal jariah di samping meringankan beban ibu bapa mendorong seorang penuntut, Nur Fatin Athifah Romli, 22, mengambil upah menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk membasuh kenderaan sejak tahun lalu.

Selain membasuh kereta, penuntut Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sanggup tebal muka menawarkan perkhidmatan seperti mengemas rumah, melipat dan menggosok baju serta berbagai lagi.

Nur Fatin Athifah mengakui mula menawarkan perkhidmatan selepas mendapati sewa rumahnya semakin meningkat, sekali gus memerlukan wang lebih banyak untuk membiayainya.

Katanya, bagi meringankan kos perbelanjaan, dia melakukan sesuatu sehinggalah timbul idea itu yang kemudian direalisasikan.

“Sebagai penuntut wanita, sudah tentu ada pihak yang memandang sinis, namun saya abaikan semua itu kerana ia sebahagian usaha mendapatkan pendapatan sampingan.

“Alhamdulillah, setiap minggu saya memperoleh sekurang-kurangnya tiga pelanggan yang memerlukan perkhidmatan ditawarkan. Apa yang penting saya perlu bijak menguruskan masa untuk belajar dan melakukan aktiviti,” kata anak kedua daripada sembilan beradik yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Dia yang bercita-cita menjadi pakar motivasi dan ahli perniagaan berkata, hasil wang diperoleh bukan saja digunakan untuk peribadinya, malah membantu golongan kurang bernasib baik.

“Wang ini turut digunakan untuk misi kemanusiaan ke Mauritius untuk mendekati masyarakat Islam minoriti bersama pengurusan USIM bagi menyalurkan bantuan.

“Ia secara langsung membuatkan saya mampu melakukan amal jariah di samping meringankan beban orang kurang bernasib baik.

“Perkhidmatan ini juga sebagai aktiviti riadah untuk saya mengurangkan tekanan sewaktu pembelajaran di kampus. Kadang-kala berapa rakan saya turut membantu menjayakan perkhidmatan ini,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu mematangkan dirinya untuk berhadapan dengan masyarakat di samping mempelajari selok-belok perniagaan.

“Saya berpeluang mendekati pelbagai gelagat pelanggan dan apa yang penting perkhidmatan yang disalurkan seharusnya memberi kepuasan kepada mereka.

“Lebih menggembirakan apabila saya turut memperoleh pelanggan yang sama disebabkan mereka puas hati dengan hasil kerja yang diusahakan,” kata anak pasangan guru Romli Abu Bakar, 50, dan Norlida Ariffin, 49.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *