home Volunteerism CATATAN 3 # TRAVELOG KEMBARA KE BOSNIA HERZEGOVINA

CATATAN 3 # TRAVELOG KEMBARA KE BOSNIA HERZEGOVINA

Catatan 3 # Travelog Kembara ke Bosnia Herzegovina

Menjengah Bumi Balkan Yang Indah – Bosnia Herzegovina
====================

Alhamdulillah tepat jam 5.15 waktu tempatan, pesawat FlyDubai selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sarajevo setelah terbang selama hampir 5 jam 45 minit dari Dubai.

Lebih kurang 20 minit sebelum mendarat, kami di sajikan pemandangan yang amat mendamaikan dari udara. Bumi Bosnia yang baru di jengah mentari siang setelah tamat musim sejuknya kelihatan begitu indah dengan landskap buminya yang berbukit bukau di hiasa rumah-rumah berkotak di lereng serta anak sungai yang mengalir di antaranya. Terdapat juga puncak gunung yang masih memutih di saluti salji – sungguh mengasyikkan.

Lapangan Terbang Sarajevo   agak sederhana saiznya, boleh di katakan seakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kelantan.

Urusan pelepasan Imigresen dan Kastam amat mudah dan mesra apatah lagi di lihat kita memegang passport Malaysia.

Keluar sahaja dari ruang ketibaan kami terus di sambut oleh saudara Muazammil yang lebih mesra dengan panggilan Menk.

Sebaik selesai perkenalan ringkas, kami terus di bawa menuju ke van Mercedes 8-seater yang selesa, yang akan membawa kami sepanjang 8 hari di sini.

Menk terus membawa kami keluar dari kawasan lapangan terbang yang terletak di pinggir kota Sarajevo.

“Kita nikmati dulu suasana mentari petang di Sarajevo sebelum magrib” kata Menk yang cekap memandu kenderaan steering sebelah kiri sambil menerangkan suasana di sekeliling.

Kami berhenti di kawasan parking berhampiran dengan National Library yang baru di baik pulih selepas musnah di bakar askar Serbia sewaktu perang lalu.

Sinaran cahaya mentari keemasan dengan suhu sekitar 15 celcius amat mendamaikan dengan sungai jernih mengalir di depan National Library.

Kawasan sekitar bandar Sarajevo berhampiran National Library di kelilingi oleh bukit yang memanjang mencatatkan sejarah sedih sewaktu perang tempohari di mana ianya di huni oleh penembak tepat Serbia yang membidik warga Sarajevo yang melintasi jalanraya atau keluar di kejiranan berhampiran.

Sungguh tidak terbayang betapa ketakutan membayangi kehidupan seharian mereka apatah lagi kanak-kanak yang bermain turut tidak terlepas menjadi mangsa rifle penembak tepat Serbia.

Kami berjalan menuju ke kawasan yang di kenali sebagai Old Town Barcasija yang menempatkan kedai-kedai makanan, buah-buahan, kraftangan serta cenderahati.

Apa yang pasti suasana sekelilingnya seakan di Istanbul dengan corak binaannya di pengaruhi senibina dari Turki. Masjid-masjid dapat di temui pada jarak yang dekat dan binaannya juga sama seperti masjid di Turki.

Kami singgah untuk solat Asar di Masjid Gazi Huzrev Bey yang merupakan masjid utama di Sarajevo. Masjid ini di bina sewaktu pemerintahan Uthmaniyyah. Di halaman masjid terdapat 5 kubur di katakan menempatkan keluarga Gazi Huzreg Bey.
Menara jam (clock tower) tinggalan Uthmaniyyah masih teguh berdiri di sebelah Masjid Gazi sebagai tanda kemajuan umat Islam pada waktu tersebut.

Usai solat kami bergegas menuju ke Restoran Buregdzinica Sac untuk menikmati makan malam dengan hidangannya ialah makanan tempatan Bosnia iaitu Bureg.

Bureg seakan murtabak berintikan daging amat sesuai di makan dalam persekitaran yang mulai di baluti kesejukan angin malam dan suhu semakin menurun.

Namun makan Bureg hanya di sertakan air kosong ataupun jus buahan. Rasa tidak lengkap tanpa air panas sebagaimana biasa di Malaysia.

Seakan memahami selera Latfy, Menk terus membawa kami ke kedai kopi berhampiran. Ternyata kopi di sini amat sedap apatah lagi di minum di luar kedai dalam keadaan dingin mengigit temulang.

Dalam perjalanan menuju ke tempat parking kenderaan, kami sempat melalui lorong-lorong yang mewarnai kemeriahan Bascarsija termasuk Sebil yang juga merupakan mercu tanda terkenal Sarajevo.

Esok kami akan datang sekali lagi ke Old Town Barcarsija dalam sesi lawatan setengah hari di lokasi ini untuk mendapatkan lebih maklumat yang berkaitan.

Selepas itu Menk menghantar kami menuju ke hotel penginapan iaitu Hotel Holiday yang terletak berhampiran dengan pusat bandar Sarajevo.

Hotel Holiday ini juga mempunyai sejarah rapat berkaitan dengan permulaan perang tempohari.

Di sini di katakan puak Serbia memanggil media dalam negara serta antarabangsa mengumunkan keinginan untuk bergabung dengan Persekutuan Yugoslavia.

Rentetan dari keadaan tersebut menyebabkan rakyat Bosnia mengadakan tunjuk perasaan membantah hasrat tersebut.

Namun dalam tindakan balasnya, pasukan penembak tepat Serbia telah menembak mati 6 orang kanak-kanak dan insiden tersebut telah mengakibatkan tercetusnya Perang Bosnia dengan Serbia.

Catatan Helmi.
Hotel Holiday Sarajevo
31 Mac 11.09 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *