home Third Force CATATAN 4 # TRAVELOG KEMBARA KE BOSNIA HERZEGOVINA

CATATAN 4 # TRAVELOG KEMBARA KE BOSNIA HERZEGOVINA

Catatan 4 # Travelog Kembara ke Bosnia Herzegovina

Dobro Jutro Sarajevo – ucapan selamat pagi dalam bahasa Bosnia untuk hari yang segar di ibu kota Bosnia Herzegovina.

Alhamdulillah pagi hari kedua ini kami kesemuanya dalam keadaan segar setelah berjaya mendapat rehat yang mencukupi di Hotel Holiday yang turut di kenali sebagai Hotel Europe Group.

Setelah bersarapan kami di temani oleh Menk menuju ke destinasi pertama kami di ibu kota Sarajevo iaitu White Fortress ataupun di kenali dalam bahasa Bosnia
sebagai Bijela Tabija.

White Fortress ini asalnya di bina oleh Rom dan kemudiannya di ambil alih oleh kerajaan Uthmaniyyah. Kedudukannya di atas kemuncak bukit Vratnik yang menghadap ke bandar Sarajevo amat strategik dari segi pertahanan baik pada  zaman dahulu mahupun pada era peperangan moden.

Pada awal perang 1992-1995 meletus, selepas berlakunya insiden penembakan penunjuk perasaan di hadapan Hotel Holiday yang menyebabkan 6 orang awam terbunuh, puak Chetnik ataupun militia Serbia beralih pula ke kawasan berbukit di sekeliling Sarajevo. Konsep yang sama di gunakan empayar Rom dan Uthmaniyyah iaitu menguasai titik tertinggi untuk penguasaan yang lebih meluas.

Hampir keseluruhan bandar Sarajevo dapat di lihat dengan jelas dari perbatasan ini.

Dari situ kemudiannya kami bergerak ke bawah sedikit ke satu lagi lokasi yang menjadi mercu tanda kota Sarajevo iaitu Yellow Fotress ataupun di kenali sebagai Zuta Tabija.

Ianya di bina oleh pemerintah Uthmaniyyah sebagai salah satu lagi pusat kawalan ketenteraan selain dari White Fortress.

Satu perkara yang menarik perhatian di sini ialah kewujudan masjid-masjid binaan Uthmaniyyah di hampir segenap kawasan. Di Vratnik sahaja terdapat 8 buah masjid.

Persinggahan seterusnya ialah perkuburan pejuang yang gugur semasa mempertahankan Sarajevo di antara tahun 1993-1995. Perkuburan ini di kenali sebagai Sehids Memorial Kovaci.

Di perkuburan ini juga di semadikan tokoh negara Bosnia Herzegovina yang amat di hormati Alija Izetbegovic. Beliau ialah presiden Bosnia sewaktu zaman perang 1992-1995.

Satu perkara yang mencuit hati kami ialah kewujudan pusara seorang non-muslim di celah pusara para syuhada. Beliau ialah Miljan Markovic iaitu seorang warga Bosnia berbangsa Serbia yang mempertahankan kota Sarajevo dari jatuh ke tangan Serbia.

Penyertaaan beliau membuktikan terdapat sekelompok masyarakat berbangsa Serbia yang tidak bersetuju dengan pencerobohan dan serangan ke atas jiran atau mungkin sahabat mereka lantas sehidup semati mempertahankan kota Sarajevo hingga di beri penghargaan di kebumikan bersebelahan para Syuhada.

Bersebelahan maqam syuhada ialah perkuburan Uthmaniyyah di mana terdapat puluhan pusara keluarga dan pembesar mereka yang di semadikan di sini. Kedudukan dan taraf mereka dalam masyarakat dapat di bezakan berdasarkan besarnya ukiran serban pada batu nisan.

Setengah hari terasa amat pantas dalam keadaan suhu sekitar 10 celcius. Damai dan menyenangkan.

Kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu kembali ke Old Town Bascarsija.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *