home Third Force CATATAN #10 SELAMAT TINGGAL MOSTAR

CATATAN #10 SELAMAT TINGGAL MOSTAR

Catatan #10 Travelog Kembara ke Bosnia Herzegovina

SELAMAT TINGGAL MOSTAR

Usai sarapan di penginapan, kami sekali lagi menuju ke Old Bridge Mostar untuk melihat panorama di waktu pagi.

Jarum jam menunjukkan pukul 9.00 pagi namun suasana di sekitar Old Bridge masih tenang dan sunyi. Mungkin kerana hari kerja dan suhu agak sejuk, sekitar 10 C manakala ramalan cuaca menjangka hujan akan turun pada tengahari.

Sejam kemudian kami bergerak  meninggalkan bandar indah Mostar yang pernah duka seketika dan kini terlihat damai. Semoga Mostar di pelihara Allah dalam keamanan berpanjangan kerana lipatan duka lama mudah tersingkap waima sedikit sahaja tersilap langkah atau kata.

POCITELJ – HENTIAN AKHIR UTHMANIYAH SEBELUM KE DUBROVNIK

Pocitelj ialah sebuah perkampungan yang terletak di daerah Capljina di dalam Persekutuan Bosnia Herzegovina.

Kawasan tarikan pelancongan ini di bina di tepi Sungai Neretva,
30 kilometer ke selatan Mostar.

Pocitelj di bangunkan oleh Empayar Rom pada tahun 1444 sebelum di tawan oleh Kerajaan Uthmaniyyah pada 1471.

Ianya merupakan satu lokasi strategik yang mesti di tawan oleh Uthmaniyyah untuk mengukuhkan cengkamannya sebelum mara ke destinasi seteruanya di Croatia, iaitu Dubrovnik.

DAMAI MENGIMBAU MEMORI DI PUNCAK POCITELJ

Kami bergerak turun ke selatan Mostar menuju ke Pocitelj. Perjalanan memakan masa lebih kurang 30 minit untuk tiba di Pocitelj.

Ianya merupakan salah satu lagi destinasi wajib singgah jika ke Bosnia Herzegovina.

Dari bawah ianya kelihatan ‘biasa-biasa’
sahaja. Kelihatan seperti binaan kubu lama yang biasa di tambah dengan kedudukannya agak tinggi, terpaksa mendaki anak tangga ke kemuncak.

Namun Menk tetap menggesa kami untuk naik bagi mengetahui rahsia sebenar Pocitelj yang tersimpan di kemuncaknya.

Baru setengah jalan mendaki namun kami sudah dapat melihat ‘rahsia’ Pocitelj.

Dari sini panorama indah hulu Sungai Neretva jelas kelihatan dengan latar masjid tinggalan Uthmaniyyah yang letaknya suku perjalanan ke puncak. Kubah masjid ini musnah sewaktu perang lalu namun sudah di baik pulih beberapa tahun lepas dengan biayaan kerajaan Turki.

Kami gagahkan jua langkah untuk ke puncak Pocitelj yang laluannya semakin sempit melalui anak tangga kota peninjau tinggalan empayar Rom itu.

Masya Allah.. Rasa penat segera hilang sebaik tiba di kemuncak Pocitelj.

Dari sana kami dapat meninjau sudut strategik dari utara ke selatan dengan sebelah kirinya gunung manakala di sebelah kanannya mengalir Sungai Neretva. Hanya satu laluan sahaja untuk keluar masuk dari sini dan ianya di kawal ketat dari kemuncak Pocitelj.

Setelah hampir satu jam di sana, kami pun beredar untuk ke satu lagi destinasi terbaik Bosnia Herzegovina iaitu Blagaj.

Catatan Helmi
3 April @ 11.25 pagi
Mostar – Blagaj

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *