home Religion Catatan Dhuha : Di Manakah Aib Dan Cacat?

Catatan Dhuha : Di Manakah Aib Dan Cacat?

18 julai- Alhamdulillah hari ini seperti biasa rutin harian Abang Raja dan team sukarelawan 3rd Force akan solat sunat dhuha dan selepas itu di bacakan satu kisah teladan untuk pengisian rohani bersama pada setiap pagi sebelum memulakan tugasan masing-masing.

Pagi ini Iskandar mengimami solat dhuha untuk menggantikan Abang Raja. Tajuk kisah hari ini yang hendak di kongsikan ialah “Aib Dan Cacat”. Kisah ini menceritakan tentang seorang raja yang telah berhasil membangun sebuah kota yang megah dengan fasilitinya yang serba mewah.

Pada suatu hari, raja menjemput seluruh rakyatnya untuk datang berpesta sambil menikmati keindahan kota tersebut. Di setiap pintu kota itu akan di tugaskan seorang penjaga yang di perintahkan untuk menyoal setiap pengunjung yang datang, adakah ada cacat cela, aib dan kekurangan kota yang raja bangunkan ini?

Hampir seluruh rakyat yang datang dan ditanyakan soalan itu terus menyatakan bahawa kota itu tidak ada kekurangannya. Tetapi bagi mereka yang menyatakan bahawa kota itu ada cacat celanya akan ditahan dan dihadapkan kepada raja. Lalu raja persoalkan, “Bagaimana kamu boleh mengatakan tentang cacat celanya kota ini. Cuba kau tunjukkan” teriak raja yang menunjukkan ketidak puas hatinya itu. Dengan jawapan yang penuh keimanan salah seorang di antara mereka yang di tahan mengatakan “kota ini akan rosak dan pemiliknya akan mati”

Raja mempersoalkan lagi “Apakah ada bangunan atau kota yang tidak memiliki cacat celanya itu? Lalu di jawab”Ada. Iaitu Syurga dan Allah pemiliknya”. Dan orang itu kemudian terus menceritakan tentang keindahan nikmat Syurga yang kekal abadi. Pada masa yang sama di ceritakan juga tentang keadaan api Neraka dan azabnya bagi manusia yang sombong dan ingin menandingi Tuhan. Ketika mereka mengajak raja tersebut untuk kembali ke jalan Allah, dia pun ikhlas menurutnya. Ditinggalkan segala kemegahan kerajaannya dan jadilah dia hamba yang taat dan beribadah kepada Allah.

Dari kisah tersebut terdapat banyak pengajaran dan ikhtibar yang kita sama-sama boleh perolehi. Antaranya ialah tidak akan masuk syurga bila mana seseorang itu ada perasaan sombong walaupun sebesar zarah. Nauzubillahiminzalik… Dan kita kena sentiasa memperingati diri kita bahawa segala nikmat keindahan hidup di dunia ini akan ada pengakhirannya. Kerana dunia itu bersifat sementara dan akhirat (Syurga dan Neraka) jualah yang kekal selamanya.

Jadi kita gunalah sebaik mungkin kesempatan yang Allah masih lagi berikan untuk mengisi ruangan hidup kita ini dengan perkara-perkara kebaikan. Supaya perjalanan kita di dunia tidak berlalu begitu sahaja dengan sia-sia. Mudah-mudahan perkongsian hari ini dapat sama-sama kita ambil ikhtibar, kita amalkan dan seterusnya kita sampaikan In Sha Allah..

#JomJadiOrangBaikBaik

Junaidi amir hamzah
(3rd force HQ)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *