home Latest News Survival Memancing Ikan Tengas Di Hulu Sungai

Survival Memancing Ikan Tengas Di Hulu Sungai

15 Oktober 2017- Ahad | Assalamualaikum.. saya ingin berkongsi dengan anda semua pengalaman memancing ikan Tengas di Hulu Sungai. Ikan Tengas atau Copper mahseer yang terdapat di Malaysia dari spesis ‘Neolissochilus soroides’. Ikan Tengas amat sukar diperolehi di pasaran. Ini kerana untuk mendapatkannya adalah sangat sukar kerana habitat semulajadi dihulu sungai yang berbatu dan berarus deras yang jernih.

Tidak hairanlah harganya agak mahal. Jenis omnivor yang memakan alga dan tumbuhan air tawar. Walaupun hampir sama dengan ikan Kelah, ia berbeza dari segi bentuk dan warna. Ikan Tengas berbentuk leper dan warna kekuningan. Kelah pula sedikit bulat dan berwarna merah pada siripnya dan ada yang berwarna putih.

Beberapa sukarewan Thirdforce sempat meluangkan masa ke lokasi memancing ikan Tengas yang terletak dihulu sungai Lata Cangkah, Setiu Terengganu. Kami menaiki kenderaan 4×4 bersama seorang Marshall yang berpengalaman tentang selok belok dihutan dan pakar memancing ikan Tengas.

antara cara mengail ikan tengas di dalam sungai

Setibanya dipinggir hutan, kami terpaksa berjalan kaki lebih 30 minit meredah hutan yang berbukit dan melawan arus deras yang berbatu sebelum sampai ke lubuk ikan Tengas. Berjalan dalam kumpulan dan tidak boleh berpecah dikhuatiri sesat atau berlaku musibah.

Peralatan yang dibawa seperti parang, pisau, peralatan memancing, mancis, pakaian tambahan dan khemah. Tidak lupa air mineral dan roti untuk mengalas perut.

Masa yang sesuai memancing pada awal pagi hingga petang. Ada yang sanggup bermalam disana. Tingkah laku dan percakapan harus dijaga semasa dihutan kerana ada banyak lagi makhluk Allah yg ada bersama kita dalam hutan tu …

Suasana dihulu sungai begitu indah dengan airnya yang sangat jernih dan bersih. Terpengun seketika dengan keindahan dan kebesaran ciptaan Tuhan.

Kaedah memancing Ikan Tengas bukanlah susah tetapi perlu ada teknik survival yang betul. Tidak boleh bising kerana ikan terus lari bersembunyi dibawah celah-celah batu. Umpan yang digunakan seperti buah sawit dan roti gardenia. Umpan yang mujarab adalah sawit peram.

Namun kami lebih senang guna sawit yang berwarna kemerahan kerana dapat menarik perhatian ikan. Sawit dihiris halus untuk mudah disangkut pada mata kail yang bersaiz kecil.

Joran yang digunakan adalah joran Puyu yang boleh disorong tarik dan agak panjang serta ringan digunakan. Ada yang menggunakan pelepah pokok brentang untuk dijadikan joran. Ikan Tengas akan menyambar umpan yang bergerak dalam arus deras.

Alhamdulillah, berkat usaha dan kesabaran banyak juga hasil yang kami perolehi walaupun saiznya tidak besar mana. Ada yang membawa pulang ikan Tengas hidup untuk dibela. Ikan yang mati disiang dan dicuci dibawa pulang untuk dimasak dan dibuat pekasam. Ada yang lebih diberi kepada jiran- jiran untuk merasai ikan tengas yang sukar diperoleh.

Setelah masuknya waktu zohor, kami mandi sekejap, dan solat zohor. Masih teringat kuliah dhuha yang lepas oleh Abg Raja supaya sentiasa menjaga solat walaubagaimana keadaan sekalipun.

Untuk tahu arah kiblat dalam hutan, tengok pada kulat atau lumut yang tumbuh dibatang pokok atau pacak kayu ditempat yang ada cahaya matahari dan lihat bayang arah mana.

Sebelum pulang, pastikan tiada benda yang tertinggal walaupun sampah. Ini kerana untuk mendidik hati kita menjaga kebersihan alam sekitar ciptaan Tuhan.

Sesungguhnya kita wajib menjaga solat dan kebersihan tidak kira dimana kita berada.

Abangraja sangat suka dengan aktiviti seperti ini tetapi beliau tak sempat untuk bersama kami kerana jadual beliau yang sangat padat sejak akhir-akhir ni. Terima kasih kepada abangraja yang memberikan kami sokongan dan peluang untuk berekreasi juga sesekali setelah lama dah padat dengan kerja-kerja mengecat rumah asnaf, program bantuan dan sebagainya.

Abangraja kata next year nak buat trip memancing di laut, Nak ajak kita semua ikut serta. Jommmm ikut nak? Sambil memancing dapat memdekati abangraja, berbual dan berkongsi ilmu dengan beliau.

InsyaAllah …

Perkongsian Dari
Zulkifli
Sukarelawan Thirdforce

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *