home Latest News RICHARD BRANSON, ABANG POLIS DAN PELUANG UNTUK JADI ORANG BAIK-BAIK

RICHARD BRANSON, ABANG POLIS DAN PELUANG UNTUK JADI ORANG BAIK-BAIK

 

Hari ini pagi-pagi lagi kami sudah bertolak KLIA2 untuk penerbangan ke Kota Bharu.

Kebetulan saya sedang membaca buku terbaharu Richard Branson yang bertajuk Finding My Virginity (beliau CEO Virgin Group, pelopor industri penerbangan tambang murah – Virgin Atlantic), jadi topik perbualan kami di dalam kereta berkisar tentang falsafah bisnes dan penubuhan syarikat Virgin, dan membandingkannya dengan AirAsia. Kata Richard dalam bukunya, Virgin Atlantic merupakan penyelesaian alternatif kepada perkhidmatan British Airways yang teruk dari segi perkhidmatan, hidangan bahkan hiburan dalam penerbangan pada masa itu. Beliau banyak melihat peluang kepada setiap masalah yang dihadapi dan menukarkannya kepada perniagaan yang berjaya. Prinsip yang sama digunakan untuk penubuhan Virgin Mobile dan Virgin Train.

Oh, mungkin perbandingan tadi tidak berapa sesuai?

Berbalik kepada perjalanan kami: Apabila tiba di lapangan terbang, saya terkejut bercampur hairan melihat orang ramai berbondong-bondong menaiki eskelator menuju kaunter check-in! Saya tidak menyangka KLIA2 sesibuk ini walaupun bukan di musim cuti sekolah! Mungkin beginilah hakikat kebelakangan ini – kebiasaan sudah berubah!

Kami ke surau untuk solat Subuh. Selesai sarapan kami ke pintu keselamatan untuk imbasan bagasi. Ada lima laluan yang dibuka pagi ini, kalau tidak silap saya. Kami pilih yang paling hujung.

Seorang abang polis bertugas sedang sibuk meletakkan tray barang di atas roller. Di depannya seorang penumpang lelaki sedang mengeluarkan komputer riba dari beg galas. “Tiiit!”, penggera berbunyi apabila benda logam dikesan pada badan penumpang yang melintasi ‘pintu’ pengimbas. Undur semula, periksa kocek baju dan saku. Letak kunci kereta dalam tray. Langkah ke depan sekali lagi ke pintu pengimbas.

Apabila saya menghampiri giliran, terdengar suara abang polis: “Talipinggang, dompet sudah diletakkan di dalam tray, Encik? Bagus! Terima kasih!”, begitulah katanya dengan nada yang sangat ceria dan bertenaga kepada lelaki yang di hadapan saya.

Saya rasa kagum dan cepat-cepat memuji sikap beliau. “Kalau kita happy, perjalanan pun happy!”, balasnya.

Betul!

Setiap kita punyai destinasi masing-masing, dengan kadar cemas dan matlamat berlainan. Kita juga ada masalah sendiri, kesulitan, kesusahan fizikal dan pergelutan emosi masing-masing. Pepatah Inggeris yang berbunyi “Everybody is fighting a battle you know nothing about, so let’s be kind to one another.” Setiap orang mempunyai masalah yang masing-masing yang kita tidak tahu, tetapi kita boleh sedekahkan mereka dengan keceriaan. Satu sen pun tidak keluar, tetapi impaknya berganda!

Sekiranya abang polis tadi sekadar menyelenggara proses imbasan penumpang, itu sudah memadai. Tetapi beliau mengambil inisiatif bersikap ceria dalam layanannya. Nampak mudah, tapi cubalah sendiri beri wajah gembira yang tulus sambil mengendali perangai manusia yang bermacam kerenah! Tak semudah itu, bukan?

Kalau Richard Branson berjaya menukar masalah kepada peluang, maka abang polis ini berjaya menukar kebiasaan menjadi kejutan yang menggembirakan! Itulah prinsip yang lebih hebat – menyuntik keceriaan dalam tugasan yang biasa-biasa.

Terima kasih abang polis! Tuan telah membuat pagi saya kembali segar dan bersemangat!

Abang polis telah subsribe kepada falsafah yang abangraja mulakan iaitu jom jadi orang baik-baik … Orang baik-baik sentiasa memberikan keceriaan, menceriakan dan sukakan keceriaan.

I like!

Latfy A. Latif
Thirdforce Media
KLIA2.
26/10/2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *